Saturday, March 20, 2010

Macam Aksi Filem!! Good Job, Abang Polis!!

Masa aku balik dari amik Gold & Rahim kat Larkin .. kat Flyover Carrefour-Kota Tinggi-Johor Jaya .. berlaku lah satu insiden mcm cerita filem aksi .. selama neh aku tengok dalam TV jerk.. tapi kali neh real beb.. real..

Mata aku dari ngantuk jam 4.45 pagi tuh, terus terbukak terang..  kitaorang dalam keta punya lah jakun sebab masa tunggu traffic light merah tuh, depan keta kami ada 2 keta peronda. So, aku pun diam jerk lah. Cuma heran, kenapa lah byk sangat kereta peronda dari Larkin sampai ke flyover neh... kemudian, di setiap penjuru traffic light pulak tuh..

Bila traffic light hijau, keta peronda tuh pun jalan.. dengan kami sekali dibelakangnya. ikut bontot keta polis tuh. sambil dia bunyikan siren dan bawak dengan laju.. tiba tiba dia boleh drift depan keta kitaorang.. mahu tak ternganga nko.. 2 keta peronda drift.. 

Dah kenapa agaknya?? nak buat aksi pun, jangan lah pepagi mcm neh.. terkejut mak, noks!!!

Dalam keadaan tergamam dan encik suami berhentikan kereta.. dekat belakang keta kami.. kat flyover, tuh berlaku aksi tahan menahan, dan seorang anggota polis keluar dr keta peronda melepaskan das tembakan.. kepaada 1 keta waja, tapi keta tuh berjaya cuba larikan diri... 

Masa berlaku kat tengah2 flyover tuh.. ada lah 3 biji kenderaan.. keta aku, lori trailer 40 kaki and satu lori 5 tan.. ish .. 

Pergh...

Macam dalam filem lah... 8 biji kereta peronda kejar mengejar sambil melepaskan das tembakan. .. ngerinya..

Nasib baik penjenayah tuh dapat ditahan.. Good Job, Abang Polis! We like you lahh...

Clap clap clap..

Padan muka nko penjenayah.. 

kalau nkorang tak caya, bacalah berita bawah neh dr sumber ini

Dua penjenayah rempuh 4 kereta peronda ditahan


Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
2010/03/20

Polis temui peralatan pecah rumah dalam kenderaan dicuri

JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata, bertindak nekad merempuh empat kereta peronda polis sebelum ditahan selepas mereka cedera terkena tembakan di Taman Daya, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, dua anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam sedang membuat rondaan cegah jenayah, sebelum terserempak sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan di depan pasar raya The Store di Pandan, lalu meminta kereta itu berhenti untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit bertindak merempuh kereta peronda polis sebelum melarikan diri ke kawasan Angkasa Mas, Taman Mount Austin di sini, tetapi tersalah memasuki jalan mati menyebabkannya berpusing balik dan merempuh semula kereta peronda terbabit. Kereta itu kemudian merempuh tiga lagi kereta peronda polis yang melakukan sekatan jalan raya berdekatan Taman Daya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abd Hamid, berkata anggota polis peronda terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri selepas mengejar kereta itu selama kira-kira satu setengah jam dan satu daripada peluru itu terkena kereta sebelum tembus dan mencederakan paha kanan pemandu kereta berkenaan.

“Rakan suspek cedera ringan di kepala kerana pelanggaran berkenaan, manakala dua anggota polis juga mengalami cedera ringan selain empat kereta peronda rosak dilanggar,” katanya pada sidang media di Balai Polis Johor Jaya, semalam.

Saifi berkata, polis menemui sebilah pisau rambo pada pemandu berusia 34 tahun itu, pisau lipat dalam beg sandang, parang panjang di tempat duduk belakang, pelbagai kunci kenderaan serta peralatan dipercayai digunakan untuk memecah rumah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta itu mempunyai 10 kes jenayah lampau membabitkan kes samun, bunuh, peras ugut dan penyalahgunaan dadah sejak 1995, manakala rakannya yang berusia 40 tahun memiliki dua kes dadah dan pernah dipenjarakan di Penjara Simpang Renggam.

“Dua suspek itu juga terbabit dalam kejadian samun di kedai menjual komputer di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya pada 9 Mac lalu, manakala kereta yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Teluk Danga pada 13 Februari lalu,” katanya.

Saifi berkata, suspek yang memandu kenderaan itu kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, manakala tiga anggota polis diberi rawatan pesakit luar akibat kejadian berkenaan.

No comments: